Beberapa hari lepas, isteri saya ada menunjukkan satu live video dari Facebook seseorang yang sedang menunjukkan cara paling ringkas dan juga mudah untuk buat roti canai di rumah. Walaupun sebagai lelaki saya memang jarang memasak. Tetapi saya memang ada minat dalam masakan dan teruja juga menonton video tersebut. Entah kenapa, selepas habis menonton video tersebut, ianya terus tersemat dan melekat dalam otak minda saya yang merasakan rupa rupanya mudah juga ya untuk membuat roti canai ini. Bukan susah mana pun. Isteri saya pun memujuk mengajak saya untuk membuat sendiri roti canai tersebut berpanduan video yang kami tonton bersama itu.
Isteri mengajak saya untuk membuat doh roti canai pada sebelah malam. Saya katakan YA sebagai tanda setuju. Selepas balik kerja sebelah malam. Saya terus mencapai mangkuk, tepung dan beberapa bahan lain untuk terus menguli doh roti canai. Isteri pula tengah melipat kain dan bertanya kepada saya mahu buat apa. Saya katakan saya mahu buat roti canai. Beliau terkejut. Tidak sempat makan malam, balik kerja saya terus capai tepung untuk terus membuatnya. Isteri agak terkejut kerana tidak menyangka saya mahu terus membuatnya malam itu juga.
Pengalaman Buat Roti Canai Sendiri
Isteri mahu membantu. Tetapi saya katakan tidak. Saya menyuruh beliau habiskan tugas melipat kain yang beliau belum habiskan ketika itu. Saya pun terus memulakan bancuhan tepung, masukkan bahan bahan, menguli dan SIAP DALAM MASA TIDAK SAMPAI 30 MINIT pun. Isteri terkejut kerana tidak menyangka saya boleh mengingat bahan, cara membancuh dan siap doh bulat kecil kecil dalam masa yang tidak lama mana. Beliau tersenyum dan teruja.
Kenapa saya mahu buat bancuhan doh roti canai pada malam itu juga? Ini kerana, berdasarkan video yang saya tonton sebelum ini, ianya menyatakan yang doh roti canai yang dibuat bulat bulat itu perlu di simpan perap dalam peti ais selama 6-8 jam sebelum boleh digunakan untuk menggoreng roti canai. Kalau saya siapkan doh pada malam hari, itu bermakna esok pagi saya sempat bersarapan dengan roti canai buatan saya sendiri dari rumah.
Cara Cara Membancuh Doh Roti Canai
- Masukkan 2 cawan tepung gandum. Masukkan 1 biji telur. Gaul rata
- Isikan satu cawan dengan air suam. Masukkan 2 sudu susu pekat dan campur dengan sedikit garam dan kacaukan
- Masukkan air susu/garam ini ke dalam adunan tepung/telur tadi sedikit demi sedikit dan gaulkan sampai menjadi doh yang lembut. Uli sampai lembut dan sekata
- Doh roti canai ini tadi akan melekat di tangan anda. Campurkan dengan sedikit tepung gandum dan gaul rata sehingga doh roti canai ini menjadi kurang melekat di tangan anda
- Ambil doh ini dan buatkan bulat bulat kecil yang sesuai saiz besarnya yang cukup untuk ditebar menjadi saiz roti canai yang dimahukan
- Doh roti canai yang kecil kecil ini tadi anda sapu diluarnya dengan marjerin/planta supaya ianya tidak melekat satu sama lain
- Doh ini anda simpan dalam peti ais dan biarkan selama 6-8 jam
- Siap.
Selepas 6-8 jam. Keluarkan doh kecil kecil dari peti ais anda dan biarkan ianya kurang sejuk. Ambil dulang, sapukan minyak pada dulang dan ambil satu doh roti canai dan anda mula uli dan tebarkan sesuai mengikut kemahuan dan kepandaian anda. Dan selepas itu masukkan doh roti canai yang telah ditebarkan/besarkan/ditipiskan ke kuali jenis leper dan masak sehingga siap. Itu sahaja prosesnya.
Saya tidak belajar buat kuah dhal. Saya makan roti canai dengan kuah sambal ikan sardin sahaja. Tujuan asal pun hendak belajar cara buat roti canai dahulu. 2 cawan tepung gandum yang saya gunakan boleh menghasilkan 10 keping roti canai. Ilmu ilmu macam ini memang kena belajar sebagai salah satu bentuk ilmu mandiri. Mana tahu kalau selepas ini boleh buka bisnes roti canai pula. Selepas ini bolehlah belajar resepi yang lain lain pula. Selamat mencuba.
2 Comments
Mujurlah isteri tunjukkan video tu… dapat juga buat tutorial kat sini kan lepas tu 🙂
tu la pasal, dapat juga buat bahan penulisan