Nasi Lemak adalah makanan unik di Malaysia. Kalau orang luar negara datang ke Malaysia, antara makanan wajib yang mereka perlu rasa untuk tahu tentang Malaysia adalah seperti durian, roti canai, teh tarik dan juga nasi lemak. Namun nasi lemak itu sendiri adalah makanan yang mudah di dapati di mana mana kedai makan ketika waktu sarapan pagi. Kalau anda adalah seorang yang meminati nasi lemak, adakah anda pernah membuat nasi lemak sendiri di rumah? Kalau saya biasa hanya tolong emak sahaja. Namun pada kali ini saya sendiri mencuba memasak nasi lemak dengan tangan sendiri.
Pada hari sabtu lepas, isteri saya bercadang mahu membuat nasi lemak. Dan niatnya sarapan kami pada hari itu adalah nasi lemak. Tetapi oleh kerana memasak nasi lemak dengan agak banyak, dan ada lauk lain seperti ayam dan telur, maka kami jadikan menu hidangan nasi lemak itu untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam terus. Kalau tanya saya, saya memang tidak kisah. Lebih jimat macam ini. Lagi pula oleh kerana saya memang suka makan nasi lemak, jadi tiada isu kalau ianya terus dijadikan makan tengah hari dan juga malam malam terus.

Persediaan bahan untuk memasak nasi lemak yang mudah
Resepi Simple Cara Memasak Nasi Lemak Di Rumah
Sejujurnya saya memang tidak pernah memasak nasi lemak. Mudah cerita saya langsung tidak pernah buatnya sendiri pun. Oleh kerana isteri mengajak saya untuk membuat nasi lemak, beliau meminta saya untuk memasak nasi lemak di dalam periuk rice cooker. Dan beliau pula menyiapkan hidangan lauk untuk nasi lemak seperti sambal ikan bilis, timun dan juga telur rebus. Kami buat yang simple simple sahaja. Oleh kerana tugasan saya kena buat nasi lemak, saya terus mencari resepi cara memasak nasi lemak di internet. Saya baca laju laju sahaja. Yang penting saya dapat idea tentang bahan dan caranya sahaja. Jadi atau tidak jadi itu belakang kira.
Bahan bahan untuk membuat nasi lemak adalah seperti beras, air, hirisan halia, hirisan bawang, halba, garam, santan dan juga serai sebagai pewangi. Cara untuk memasak nasi lemak pula adalah begini. Anda basuh dahulu beras anda sehingga bersih. Selepas itu masukkan ke semua bahan yang saya sebutkan tadi. Lihat gambar di atas ini. Tetapi gambar di atas ini saya belum masukkan santan lagi. Anda masukkan santan siaplah ke semua bahan tadi dan terus masak di rice cooker. Mudah bukan? Saya suka nasi lemak ada gunakan “halba”. Kalau anda tidak suka, maka tidak perlu masukkan.

Hidangan menu nasi lemak simple yang telah siap
Dan gambar kedua di atas ini pula adalah hidangan nasi lemak yang telah siap dan lengkap tetapi ringkas. Kenapa ianya lengkap dan ringkas? Lengkap dan ringkas itu adalah berkenaan proses membuat nasi lemak yang mempunyai asas asas penting seperti nasi lemak, timun, sambal ikan bilis dan juga telur rebus. Lain lain lauk adalah lebih kepada tawaran pilihan yang lebih untuk menyedapkan lagi hidangan tersebut. Maaf, saya tidak berkongsikan dengan anda cara membuat sambal ikan bilis dan lain lain. Itu anda boleh cari sendiri di internet. Saya hanya kongsikan resepi simple dari pengalaman saya sendiri tentang cara memasak nasi lemak di rice cooker. Selamat mencuba.
Nasi Lemak susah nak ditolak. 🙂