Persediaan awal sebelum majlis kenduri perkahwinan adalah menyiapkan baju pakaian perkahwinan. Baju persalinan perkahwinan itulah nanti yang akan anda pakai semasa majlis kenduri makan makan depan tetamu yang hadir. Sebab itulah orang kata anda akan menjadi RAJA SEHARI kerana baju kahwin yang anda pakai merupakan ciri ciri tradisional raja raja seperti untuk lelaki lebih kepada kain samping dan juga tanjak tengkolok dan untuk wanita pula lebih kepada pemakaian permaisuri. Sekali seumur hidup.
Selepas menghadapi sendiri proses mencari baju kahwin, baru tahu yang ianya tidaklah sesukar mana dan semudah mana. Yang penting kena buat persediaan awal. Saya pergi ke butik pakaian perkahwinan, sudah banyak pelekat pelekat yang menunjukkan ada pasangan sudah menempah baju tersebut. Dan ada satu baju sudah ditempah lebih dari 6 pasangan. Anda mungkin meminati mana mana baju kahwin, tetapi jika baju tersebut sudah ditempah awal oleh orang lain dalam tarikh masa yang hampir sama, maka anda terpaksa memilih baju yang lain. Sebab itu perlu lebih awal merancang.

Contoh baju pakaian perkahwinan untuk majlis perkahwinan
Panduan Ringkas Mencari Baju Pakaian Perkahwinan
Apakah jenis baju pakaian perkahwinan yang anda inginkan? Pada pandangan saya, baju kahwin ini lebih kepada mencari baju kahwin untuk orang perempuan. Pakaian kahwin persandingan untuk orang lelaki biasanya lebih kurang sama sahaja. Jadi apabila anda pergi ke butik perkahwinan, yang perlu anda fokus adalah pakaian kahwin untuk bakal isteri anda. Biarkan bakal isteri anda memilih design, corak dan warna yang dia inginkan. Kerana apabila dia memilih, maka dia akan suka dan bersedia untuk memakai baju pakaian perkahwinan tersebut. Biasalah, sang isterilah yang akan lebih menyerlah dari sang suami.
Bagaimana dengan bajet? Ya semua orang akan memastikan persediaan majlis perkahwinan masih dalam “bajet”. Dari pengalaman saya yang singkat, saya dapati harga untuk menyewa baju pakaian perkahwinan mempunyai 2 kategori. Kategori pertama anda sewa baju pakaian perkahwinan yang sudah sedia ada di butik. Dan kategori yang kedua anda mahukan baju pakaian perkahwinan yang mengikut design anda sendiri. Kategori pertama selalunya dalam kategori RM750 ke bawah. Kategori kedua pula dalam lingkungan RM1200 – RM1400 atau lebih.
Berapa lama anda boleh menyewa baju pakaian perkahwinan tersebut? Kebiasaannya tidak lebih dari 1 minggu. Selalunya pemilik butik tidak kisah anda menyewa lebih lama asalkan tiada tempahan atau permintaan dari pelanggan lain untuk baju kahwin yang anda sewa itu. Jika ada, anda terpaksa memulangkan segera. Nasihat saya untuk anda yang sedang mencari baju pakaian perkahwinan, buat persediaan mencari lebih awal dan banyakkan melawat butik perkahwinan supaya anda dapat melihat lebih banyak koleksi baju kahwin dan harga sewa yang ditawarkan. Selamat menuju ke gerbang perkahwinan.
Leave a Reply