Saya berkahwin dengan “perempuan terengganu”. Dan salah satu benda yang saya belajar mengenai makanan popular di negeri Terengganu adalah berkenaan keropok lekor. Orang cakap keropok lekor yang original di Malaysia adalah dari negeri Terengganu. Saya sendiri tidak pasti. Namun setelah berkahwin dan kenal dengan jenis makanan Terengganu, saya dapat mengiyakan cakap cakap tersebut. Rupa rupanya selama ini, orang luar dari Terengganu memang makan keropok lekor yang kurang kualitinya dari yang asal. Apakah terdapat perbezaan keropok lekor dari Terengganu dengan dari negeri yang lain? Ya ada beza.
Sebenarnya keropok lekor itu sendiri bahan asas utamanya adalah dari isi ikan. Jadi kalau anda makan keropok lekor yang asli (original), anda sebenarnya akan dapat merasakan isi ikan terus pada lidah anda dan ianya sangat sedap dan juga lembut. Malah ianya akan kekal lembut walaupun sudah tidak panas. Namun ianya berbeza dengan keropok lekor yang biasa kita makan terutamanya jika kita beli di pasar pasar malam. Masih panas panas mungkin sedap, tetapi kalau sudah sejuk, mesti terasa sangat liat atau sangat keras. Betul tidak?
Perbezaan Keropok Lekor Dan Keropok Losong Di Terengganu
Jadi apakah penjual keropok lekor di pasar malam itu menipu kita sebagai pembeli? Jawapannya sudah tentu tidak. Untuk pengetahuan anda, jika anda mahukan keropok lekor yang asli dan terasa isi ikan, anda perlulah membayar lebih. Mudah ceritanya ianya sudah pasti lebih mahal. Sedangkan keropok lekor yang dijual di pasar malam lebih murah kerana kandungannya yang lebih banyak tepung berbanding isi ikan. Jadi tiada isu penjual menipu atau tidak. Semua ini adalah kerana faktor kos perniagaan. Itu sahaja.
Semasa saya di Terengganu, saya selalu nampak dua perkataan ini iaitu KEROPOK LEKOR dan juga KEROPOK LOSONG. Saya sudah bertanya kepada isteri. Beliau sendiri kurang pasti akan jawapan tentang perbezaan tersebut. Cumanya jawapan yang biasa saya dengar dari orang Terengganu sendiri adalah perkataan “Losong” itu sendiri menunjukkan tempat. Ianya adalah tempat di mana keropok lekor yang asli banyak dihasilkan. Mudah cerita, kita sebut sahaja ianya sebagai keropok lekor losong.
Saya sendiri pergi ke kedai yang menjual keropok lekor ini. Yang peliknya setiap kedai akan menyediakan dua kotak yang berbeza dengan nama yang berbeza. Satu kotak diletakkan nama sebagai “Keropok Lekor” dan satu kotak lagi diletakkan nama sebagai “Keropok Losong”. Saya sempat mengambil gambar isi di dalam kedua dua kotak berkenaan. Saya tanya peniaga tersebut akan perbezaan antara keropok lekor dan juga losong. Anda hendak tahu apa jawapan beliau? Perbezaan antara keropok lekor dan juga keropok losong adalah keropok losong mempunyai kuantiti isi ikan yang lebih berbanding keropok lekor. Itu sahaja. Bagaimana dengan pandangan dan tanggapan anda pula? Setuju atau tidak?