Dulu saya sering sangat menonton video di YouTube berkenaan orang bukan Islam (non muslim) yang masuk Islam. Mereka akan menceritakan sebab sebab kenapa mereka masuk Islam. Hasil daripada itu, saya pun mula mencari video orang bukan Islam yang masuk Islam di Malaysia. Dari pencarian itulah saya menemui dengan beberapa orang “bukan melayu” yang menjadi Islam. Ada ramai juga. Cuma yang saya sering ikuti adalah Lim Jooi Soon dan juga Firdaus Wong. Ada sebab kenapa saya “agak” suka untuk mengikuti akan perkembangan mereka. Kenapa?
Kita orang melayu sudah menjadi muslim sejak kecil. Kalau tanya saya, kenapa saya Islam, sudah tentu jawapan mudahnya adalah kerana ibu bapa kita sendiri adalah Islam. Apakah Islam yang ada pada kita ini adalah disebabkan kita mencarinya sendiri. Sebagai seorang yang berpegang kepada ajaran agama. Tanyalah siapa sahaja, apakah agama yang betul dan benar. Semua orang akan cakap agama mereka yang paling betul dan benar. Apa buktinya? Kita tahu, cuma kita tidak tahu cara hendak menjawabnya.
Lim Jooi Soon Dan Firdaus Wong
Atas sebab itulah saya berminat untuk mengikuti mana mana insan atau individu yang pakar dalam agama Islam. Tidak kisahlah samada mereka sudah Islam sejak kecil atau baru menjadi Islam. Yang penting mereka pakar. Apabila mereka pakar, itu bermakna mereka ada asas asas agama yang kuat berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka menghadapi pelbagai soalan dari orang luar dengan pelbagai soalan. Soalan saya, apakah kita orang awam biasa dan seorang Islam pernah ditanya soalan soalan yang mencabar minda?
Itulah sebab saya mengikuti perkembangan topik agama Islam dari Lim Jooi Soon Dan Firdaus Wong. Mereka masuk Islam hasil dari kajian mereka. Malah saya boleh katakan mereka banyak melakukan aktiviti dakwah kepada orang bukan Islam termasuk orang Islam juga di Malaysia. Jadi mereka ada ilmu dan pengalaman yang kita sebagai orang Islam iaitu orang awam biasa yang tidak tahu apakah soalan atau perkara yang orang non muslim hendak tahu. Bukankah tanggungjawab kita sebagai muslim perlu menyampaikan dakwah?
Bro Lim Jooi Soon suka berkongsikan cara berdakwah kepada non muslim dan apakah soalan yang sering non muslim tanyakan kepada orang Islam di Malaysia. Bro Firdaus Wong Wai Hung pula ada pengalaman melakukan street dakwah dan berpengalaman berdebat berdiskusi dengan non muslim di luar negara. Bagi saya, kedua dua ilmu dan pengalaman mereka ini sangat bagus untuk orang Islam ambil tahu untuk meningkatkan keimanan diri sendiri kepada agama sendiri.
Sebagai seorang Islam, janganlah kita menjadi Islam kerana kita lahir dalam Islam semata mata. Carilah ilmu dan belajar sedikit sebanyak tentang Islam supaya kekuatan akidah kita menjadi lebih kuat. Bila ada soalan berkenaan Islam, sedikit sebanyak kita tahu hendak menjawabnya. Bila kita tidak belajar, kita tahu Islam itu betul. Tetapi kita tidak tahu cara menjawabnya. Jadi bagi saya, Bro Lim Jooi Soon dan juga Bro Firdaus Wong boleh anda jadikan rujukan untuk anda mula belajar tentang soal jawab dari non muslim kepada Islam dan secara tidak langsung anda juga dapat belajar tentang agama Islam sendiri. Selamat mencuba.