Isteri ada bertanya saya, “abang hendak makan apa tengah hari nanti?”. Dan saya katakan saya mahu makan tomyam campur dan beliau bersetuju untuk membuatnya. Isteri saya perlu ke tempat kerja sebelum jam 9 pagi. Dan beliau risau jika tidak sempat menyediakan makan tengah hari kepada saya. Saya katakan tomyam pun sudah ok. Tidak perlu bersusah buat lauk macam macam. Bagi saya, satu lauk pun sudah memadai asalkan isteri tolong buatkan. Dan kita sebagai suami akan terasa berterima kasih kepada si isteri. Dan isteri saya pun mahu mengajar saya cara memasak tomyam yang ringkas ringkas sahaja. Saya bersetuju.
Saya memang jenis yang suka untuk belajar memasak. Sifat ingin tahu itu ada. Jadi di sebabkan isteri mahu mengajar cara memasak tomyam, saya terus bersetuju. Untung untung saya sendiri boleh membuatnya sendiri nanti di rumah bila ada kelapangan. Suami memasak untuk isteri juga boleh. Lagi lagi kalau si isteri penat balik kerja, kita sebagai suami pula ada kelapangan masa. Jadi apa salahnya bukan? Paling paling tidak, saya sendiri mendapat modal bahan penulisan baru untuk dimuatkan ke dalam blog seperti ini, hehe.
Saya Memasak Tomyam Campur Cara Simple
Dan setelah saya mencuba sendiri membuat tomyam dengan dipantau oleh isteri, saya dapati rupa rupanya ianya tidaklah sesukar mana untuk menyiapkan masakan tomyam. Bahan bahan pun tidak banyak mana. Malah walaupun saya baru pertama kali mencuba memasak tomyam ini, saya boleh terus mengingati akan proses dan langkah langkah cara membuatnya. Bila sudah siap, kita makan dan terasa sedap, maka apa yang kita buat tadi itu sudah dikira berjayalah. Jadi saya pun yakin untuk berkongsikan resepi tomyam ringkas ini untuk tatapan anda.
Bahan Bahan Penyediaan Tomyam
Bawang merah, daun limau purut, 1 batang serai, ayam, sotong, udang, fishball, 1 biji tomato, satu paket cendawan, satu paket pes tomyam, garam, gula, air
Cara Memasak Tomyam
Didihkan air dengan banyak dalam kuali/periuk. Setelah didih masukkan hirisan bawang besar, daun limau purut dan juga 1 batang serai yang telah ditumbuk sedikit. Kemudian masukkan 1 paket pes tomyam dan kacau. Setelah itu masukkan lauk yang anda ingin masukkan seperti potongan dadu kecil ayam, sotong, udang dan juga fishball dan lain lain yang anda inginkan. Masukkan sedikit garam dan juga gula. Teruskan masak sehingga lauk tadi “masak”. Sebelum hendak matikan api barulah anda masukkan cendawan dan juga buah tomato. Biarkan berapa ketika dan matikan api. Siap
Bahan bahan lain yang anda ingin masukkan ke dalam hidangan tomyam anda dipersilakan. Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah resepi cara memasak tomyam yang paling simple yang boleh anda lakukan mudah dari rumah lagi lagi kepada anda yang masih baru atau pertama kali cuba memasak tomyam. Sebelum ini saya pun baru pertama kali membuat roti canai sendiri. Kalau anda berminat, anda boleh membaca artikel yang saya tuliskan iaitu cara membuat roti canai ringkas ini. Selepas berkahwin, seronok juga dapat belajar sikit demi sedikit cara memasak makanan. Tiada salahnya kalau kita sebagai lelaki memasak bukan? Saya harap anda dapat ikuti resepi tomyam campur ringkas ini dengan mudah tanpa masalah. Selamat mencuba