Saya tidak tahu bagaimana dengan anda. Kali terakhir gigi saya diperiksa adalah ketika zaman persekolahan. Itupun kerana terpaksa. Dan selepas itu tidak pernah. Dan yang paling terbaru saya berjumpa doktor gigi adalah beberapa bulan lepas kerana terpaksa mencabut gigi yang sudah goyang dan berasa sangat sakit. Dan selepas itu tiada. Dari apa yang saya lihat di klinik gigi, rupa rupanya ada banyak rawatan gigi yang mereka tawarkan termasuk servis perkhidmatan cuci gigi. Saya memang tidak tahu yang gigi boleh dicuci dan perlu ke klinik. Kenapa saya tidak tahu benda ini dari dulu ya? Puncanya kerana kurang kesedaran.
Selepas berkahwin, ada banyak juga benda benda yang saya banyak belajar dari isteri. Salah satunya adalah berkenaan penjagaan gigi. Beliau ada menerangkan dan mencerita kepada saya tentang rawatan gigi. Dari situlah saya dapat tahu tentang servis cuci gigi ini. Ada dua tempat yang boleh anda lakukan samada di klinik kerajaan atau di klinik swasta. Kami memilih klinik swasta yang berdekatan dengan tempat tinggal kami. Saya dan isteri bersama sama membuat temujanji untuk mencuci gigi kami berdua.
Kenapa Perlu Cuci Gigi 6 Bulan Sekali
Saya berpengalaman mencuci gigi kami di Desa Murni Dental Clinic Sungai Dua Pulau Pinang. Sebelum hadir ke sana kami sudah membuat temujanji terlebih dahulu. Jadi mudah, datang pada tepat masa dan terus mendapatkan rawatan. Hendak terus datang ke klinik pun boleh juga. Itu kalau tiada orang (pesakit). Kalau ada ramai pesakit, anda hanya membuang masa anda sahaja kerana terpaksa menunggu giliran. Bagi saya, kaedah yang paling mudah adalah anda terus membuat panggilan telefon ke klinik berkenaan dan tanyakan terus samada anda boleh walk in terus pada waktu sekian dan sekian.
Apakah kelebihan mencuci gigi ini? Bagaimana mereka mencuci gigi? Tidakkah kita boleh mencuci gigi sendiri di rumah? Mari saya jelaskan secara ringkas mengikut fahaman saya sendiri. Sebenarnya gigi kita setiap tahun akan membentuk “plak gigi” Sedikit demi sedikit. Cuba anda lihat apa yang ada pada belakang gigi bawah anda? Ada seakan akan plak yang menebal dan keras betul? Itulah dia benda yang terkumpul dan membentuk plak. Dan plak yang banyak ini pula kalau dibiarkan akan membentuk karang gigi dan salah satu penyebab kenapa mulut dan nafas anda berbau.
Apa yang doktor gigi akan buat? Mereka akan melakukan teknik “Scaling”. Teknik scaling gigi adalah kaedah untuk membuang plak/karang gigi yang sudah mengeras di sekitar gigi anda. Teknik ini akan menghancurkan plak tersebut sedikit demi sedikit sampai habis. Mudah cerita kotoran yang melekat pada gigi mereka akan buang sampai habis.
Pengalaman saya? Saya seorang penakut dengan doktor gigi. Nasib baik yang rawatan cuci gigi tidak memerlukan kawasan mulit kita perlu di suntik. Tetapi mereka akan tetap sapukan sejenis ubat yang memberikan sedikit rasa kebas untuk elak rasa sakit. Doktor gigi menggunakan alat apa ntah yang ianya bergetar dan mampu memecahkan plak/karang gigi. Saya tidak merasakan apa apa sakit. Ada terasa sedikit ngilu.
Manfaat Rawatan Mencuci Gigi (Scaling)
- Membuang kotoran sisa makanan
- Membersih plak/karang gigi
- Mencegah perubahan warna gigi
- Mengelak terkena pengakit gusi
- Dapat mengurangkan bau mulut
Proses tidaklah lama. Bergantung kepada plak yang ada pada gigi anda. Selepas siap, saya sendiri merasakan yang plak tersebut memang sudah tiada. Terasa suci pula gigi. Nasihat doktor, kalau boleh buatlah rawatan cuci gigi ini 6 bulan sekali. Berapa kos cas yang dikenakan? Hanya RM80 sahaja untuk seorang. Kepada anda yang mempunyai mulut berbau, selalu terkena ulser mulut atau ulser lidah, pergilah cuci gigi anda di klinik gigi. Selepas balik rumah, sila amalkan gosok gigi sebelum tidur. Kemudian cuci gigi, lidah dan mulut anda dengan pencuci mulut seperti gambar di atas ini ya. Ingat ya, gigi anda hendak pakai lama hingga ke hari tua. Jagalah gigi anda. Bye