Alhamdulillah, saya baru baru ini baru sahaja berjaya menjalani rawatan pembedahan pada laluan telinga untuk membuang satu nama penyakit yang disebut sebagai “MASTOID”. Dan penyakit mastoiditis ini disebut sebagai satu penyakit yang mempunyai karektor seperti kanser tetapi ianya bukan kanser. Maksudnya? Ianya merebak tetapi bukan dalam tempoh yang cepat. Mengambil masa yang lama dan ianya juga boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat. Hasilnya, pembedahan perlu dilakukan untuk membuang penyakit yang disebut sebagai penyakit mastoid ini.
Untuk pembaca, penulisan ini adalah berdasarkan apa yang saya faham ya. Saya bukan doktor. Hanya pemahaman saya sebagai orang awam biasa sahaja berdasarkan apa yang doktor sampaikan. Untuk lebih faham, anda boleh cari dan baca berkenaan “mastoid infection” di internet ya. Sebenarnya saya sudah menghadapi masalah kurang pendengaran sejak beberapa tahun lalu. Akan tetapi kesilapan terbesar saya adalah dengan membuat tidak tahu sahaja dengan harapan yang ianya akan baik dimasa akan datang. Bila sudah biasa dan masih boleh mendengar, maka saya lupakan sahaja masalah kurang pendengaran ini.

Masuk wad hospital untuk menjalani pembedahan mastoid
Apa Itu Penyakit Mastoiditis Dan Pengalaman Pembedahan
Tetapi kadang kadang terjadi masalah juga bila bila ibu bapa, mertua, sanak saudara dan isteri bertanya dan saya tidak dapat mengagak atau meneka apa yang mereka tanyakan. Hasilnya saya mengangguk seolah olah tanda faham atau bersetuju. Sebenarnya saya langsung tidak tahu apa yang mereka tanyakan. Begitulah kejadian kehidupan saya bertahun tahun. Tetapi emak sudah perasan yang saya tidak mendengar apa yang orang lain katakan. Kalau sembang dekat dekat memang boleh dengar dan saya boleh menjawab pertanyaan sesiapa sahaja kecuali kalau berjarak jauh sedikit memang tidak boleh dengar.
Selepas berkahwin, masalah menjadi semakin rumit bila isteri menganggap saya seolah sengaja buat tidak dengar atau tidak fokus bila ada orang bertanya atau memanggil. Isteri mencadangkan saya untuk membuat pemeriksaan di hospital. Selepas membuat pemeriksaan scan MRI, saya di dapati sudah terkena “penyakit mastoiditis”. Ketika itulah doktor menceritakan apakah kriteria penyakit ini dan bagaimana rawatan yang perlu saya lalui untuk menyembuhkan penyakit ini. Mudah cerita, saya kena lakukan pembedahan pada dalaman telinga untuk membuang penyakit tersebut.

Sebelum dan selepas pembedahan membuang penyakit mastoiditis
Saya ringkas kan begini. Penyakit mastoid ini adalah penyakit yang menyerang dan memakan cel pada otot dan tulang pada telinga termasuk ke otak. Sifat macam kanser. Dia akan makan sedikit demi sedikit dalam tempoh lama iaitu bertahun. Sebab itulah bila dia makan tulang telinga dan tulang berdekatan otak, pendengaran boleh terjejas dan saya boleh terkena strok dan lain lain lagi. Mudah cerita, kesan dari penyakit mastoiditis sebenarnya bahaya kalau tidak di rawat.
Pembedahan dilakukan untuk membuang penyakit mastoiditis ini dari terus berada di dalam telinga ya dan BUKAN untuk memulihkan pendengaran telinga. Tulang telinga yang sudah dimakan terpaksa dibuang dan sudah tentu pendengaran akan kekal sama kurang pendengaran atau semakin berkurang lagi selepas pembedahan. Ini adalah lebih baik berbanding terus membiarkan tanpa dirawat yang akhirnya membuatkan penyakit mastoiditis ini memakan ke semua tulang telinga dan menyebabkan pekak berlaku.

Selepas pembedahan mastoid berjaya dilakukan.
Proses ketika pembedahan bagi setiap orang yang mempunyai penyakit yang sama adalah berbeza ya. Kenapa berbeza? Sebab pakar pembedahan dan pakar bius akan memeriksa pesakit samada mempunyai penyakit lain yang berisiko memberikan kesan ketika pembedahan dijalankan. Contohnya pesakit mungkin ada penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, OSA, elergik ubat, jantung dan lain lain. Jadi prosedur pembedahan akan berbeza untuk setiap pesakit berdasarkan ujian diagnose yang dilakukan agar proses pembedahan dapat dijalankan dengan baik dan selamat.
Selepas pembedahan untuk membuang penyakit mastoiditis berjaya dilakukan, saya telah diberi makan ubat tahan sakit dan juga ubat antibiotik untuk memastikan kesan luka dapat sembuh dengan baik dan tidak terkena jangkitan kuman. Saya masuk dewan bilik pembedahan pukul 7.30 pagi dan keluar siap pembedahan pada pukul 4 petang. Lama bukan? Memang lama. Selepas itu doktor pembedahan akan memeriksa samada saya berasa pening dan saraf muka dapat berfungsi dengan baik. KENAPA?

Benang jahitan pembedahan penyakit mastoid telah dibuka
Ini kerana pada saluran telinga, terdapat saraf penting yang menjaga keupayaan badan kita untuk kekal berdiri stabil iaitu menyeimbang badan dan juga untuk saraf muka. Jika semuanya baik, maka proses pembedahan berjalan dengan baik kerana berjaya menjaga saraf saraf penting ketika pembedahan dijalankan dengan selamat. Dan yang paling penting radang “mastoid” berjaya dibuang dan dikeluarkan sampai habis. Tahniah dan ucapan terima kasih kepada ke semua doktor dan staff yang terlibat di dalam pembedahan saya.
Selepas 7 hari, rawatan susulan diperlukan dan jahitan pada telinga saya perlu dibuka. Alhamdulillah tidak terasa sakit cuma terasa ngilu sahaja sebab bimbang bekas jahitan belum sembuh sepenuhnya dan saya boleh mandi seperti biasa. Kata doktor, beliau cuba buat yang terbaik pada luka pembedahan agar selepas luka baik, kesan luka pembedahan pada kulit bahagian berdekatan telinga dan kepala tidak ketara bekasnya. Sedikit cebisan pengalaman saya menjalani pembedahan untuk membuang penyakit mastoiditis pada telinga sebelah kanan. Doakan saya ya. Aminnn.
Leave a Reply