Tahukah anda, jika anda mempunyai masalah berkaitan telinga, hidung dan juga tekak, anda perlu ke klinik ENT dan bukannya sebagai pesakit luar di hospital. ENT bermaksud EAR, NOSE dan juga THROAT. Dan sejak saya ada penyakit telinga yang bernama “Mastoiditis” ini, maka klinik ENT inilah tempat yang wajib saya pergi untuk mendapatkan rawatan. Satu penyakit yang sudah lama. Makan bertahun tahun untuk sedar akan kewujudan penyakit ini dan terpaksa melalui proses pembedahan telinga untuk mengelakkan masalah pendengaran menjadi bertambah serius. Kenapa?
Secara ringkas. Penyakit yang bernama mastoiditis ini adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria pada tulang telinga. Kalau ikut kata doktor, ianya seperti keradangan dan ada ciri ciri seperti kanser tetapi bukan kanser. Maksudnya, sifat kanser itu merebak dengan cepat, sedangkan penyakit mastoiditis ini merebak juga cuma ianya merebak dalam keadaan sangat lambat. Sebab itulah pembedahan telinga saya pada kali pertama mengambil masa jarak selama 2 tahun untuk pembedahan kali kedua pada telinga yang satu lagi.

Klinik ENT Di Hospital Kerajaan
Serangan bakteria pada telinga saya ini menyebabkan ianya memakan tulang pendengaran dan hasilnya pendengaran menjadi semakin kurang dan semakin kurang. Ketika ujian pendengaran dilakukan, keputusan menunjukkan yang saya sudah kehilangan sebanyak 50% pendengaran. Tidak ada cara lain untuk membuang penyakit ini melainkan dengan cara pembedahan. Dan kalau semakin lama dibiar, kemampuan mendengar saya akan semakin menurun.
Adakah kemampuan mendengar saya akan pulih selepas pembedahan. Jawapannya tidak!!!. Pembedahan adalah untuk membuang bakteria tersebut dari terus hidup dan memakan tulang telinga. Kalau pembedahan berjaya, kemampuan mendengar adalah akan sama sebelum pembedahan dan tidak akan terus merosot atau berkurangan sedikit sahaja.
Tekanan Darah
Sebelum pembedahan boleh dilakukan. Doktor mewajibkan pesakit untuk mempunyai tekanan darah normal sekitar 120/80. Untuk kes pesakit yang ada darah tinggi, maka tidak boleh lebih dari 140/90 dan wajib kena ada dan makan ubat darah tinggi. Kalau tekanan darah tinggi dari itu, maka kena makan ubat darah tinggi yang sesuai sampai capai sasaran di bawah 140/90.

CPAP
Kalau ada masalah pernafasan seperti dengkur atau OSA yang kuat, wajib kena ada mesin CPAP. Mesin ini adalah alat bantuan pernafasan untuk membantu membuka rongga pernafasan selepas pembedahan. Maklumlah, selepas bedah dan di bius satu badan, anda bernafas dengan lemah dan kurang kuat paru paru anda. Jadi kena pastikan yang anda ada mesin CPAP kalau anda masalah dengkur atau OSA yang teruk. Mesin CPAP ini kena beli sendiri dan harganya dalam RM5K.
Jantung
Ingat ya, ketika proses pembedahan lagi lagi dalam keadaan badan di bius secara penuh, maka kita hanya bernafas menggunakan mesin oksigen. Keputusan jantung yang sihat sahaja dibenarkan untuk melakukan proses pembedahan dalam keadaan di bius penuh (tidak sedarkan diri) bagi mengelak kejadian kena serangan jantung iaitu strok dan sebagainya.
Alahan
Ketika proses pembedahan lagi lagi dalam keadaan badan di bius penuh, akan terdapat pelbagai jenis ubat akan dimasukkan ke dalam badan. Jika seseorang ada alahan ubat, sila beritahu doktor secara jujur. Jangan tipu. Ini melibatkan nyawa anda dan kesusahan kepada doktor ketika proses pembedahan anda agar semuanya berjalan lancar. Kalau ada alahan ubat, maka doktor akan berikan ubat yang lain yang sesuai untuk tubuh badan anda. Jelas ya.
Risiko Pembedahan Telinga
Anda kena tahu di muka dan kepala dan lagi lagi di kawasan telinga terletaknya saraf urat muka, pendengaran, keseimbangan badan dan juga dekat dengan otak. Kalau tercedera salah satu saraf ini ketika proses pembedahan tulang telinga, maka kesan kesan yang doktor nyatakan akan berlaku samada kesannya berbentuk ringan, sederhana atau teruk. Sebab itulah anda kena faham dan wajib menandatangani surat kebenaran dan menerima risiko yang dinyatakan.
Alhamdulillah. Pihak doktor di klinik ENT yang saya pergi semuanya memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Kalau tidak faham boleh tanya. Dan mereka berikan jawapan secara ringkas yang boleh saya faham dengan mudah. Dan proses pembedahan telinga akibat masalah pendengaran dari jangkitan bakteria mastoiditis berjalan dengan baik di kedua dua belah telinga saya. Alhamdulillah. Satu sahaja nasihat yang saya boleh beri. Sila jangan korek telinga anda dengan cara yang salah. Perbuatan mengorek telinga bagi kita semua nampak normal. Sekali terlupa, terkena jangkitan, maka kena tanggung akibatnya. Sila dapatkan perkhidmatan di klinik ENT di Hospital untuk membersih dan mencuci telinga anda. BYE!!!.