Isteri mengajak saya ke kawasan kilang perindustrian di Kulim Kedah pula selepas membeli produk Vico murah di Penang. Katanya hendak mencari dan membeli pinggan mangkuk murah yang dijual terus dari gudang kilang. Rasa menarik juga. Jadi saya bawa beliau ke kilang berkenaan yang bernama Miyao-Toki. Itu adalah kali pertama saya ke sana dan memang ada sangat ramai orang pergi ke sana untuk membeli cawan, dulang, pinggan, mangkuk, periuk dan lain lain dengan harga promosi murah. Aktiviti macam ini sememangnya menarik lebih lebih lagi untuk ahli keluarga.
Sejujurnya saya memang tidak tahu akan harga sebenar peralatan dapur seperti ini yang dijual di luar seperti di pasaraya. Namun saya pasti ianya pasti jauh lebih murah kerana ianya terus dijual dari kilang. Saya sempat bertanya kepada staff pekerja di sana samada mereka setiap tahun melakukan aktiviti seperti ini. Jawapan mereka agak menggembirakan kami iaitu setiap tahun mereka buat jualan pinggan mangkuk murah ini sebanyak 4 kali. Ini bermakna, setiap 3 bulan sekalilah jualan promosi ini mereka lakukan. Terbaik.
Jualan Promosi Pinggan Mangkuk Murah Di Kilang
Mereka ada menjual cawan, dulang, pinggan, mangkuk dan juga periuk. Saya pasti orang rumah (suri rumah) pasti rambang mata dibuatnya. Ini kerana terdapat banyak pilihan yang mereka tawarkan termasuk saiz. Ada saiz periuk yang kecil, sederhana dan juga besar. Sempat jugalah isteri ambil 1 periuk yang dibuat dari tanah liat dan juga 2 bekas mengkuk sederhana kecil. Mangkuk yang beliau ambil dan beli itu boleh digunakan di dalam microwave. Dan periuk itu pula sempat isteri gunakan untuk memasak daging masak kicap. Sedap. Terbaik.
Bagaimana dengan harganya? Seperti yang saya katakan tadi, oleh kerana kami pertama kali ke sana. Dan saya sendiri kurang tahu akan harga pasaran bagi harga sebuah cawan, dulang, pinggan, mangkuk dan juga periuk. Maka saya tidak pasti samada ianya murah, murah sangat atau biasa biasa sahaja harganya. Maaf ya. Cuma dari apa yang saya nampak, periuk tanah liat yang mereka jual itu ada yang berharga RM30, RM35, RM40 dan juga RM80.
Periuk tanah liat adalah produk yang paling mahal dijual di kilang tersebut. Lain lain produk seperti cawan, dulang, pinggan dan juga mangkuk dijual dengan harga agak murah. Macam saya telah ambil mangkuk sederhana kecil, harganya adalah RM5 setiap satu. Banyak yang berharga RM5 setiap satu. Jadi murah jugalah menurut saya.
Kalau anda adalah pasangan yang baru berkahwin atau keluarga yang memerlukan cawan, dulang, pinggan, mangkuk dan juga periuk yang banyak, apa kata anda pergi ke sini. Memang ada banyak pilihan pinggan mangkuk murah harganya. Ianya membuatkan saya terfikir hendak sediakan duit dan juga “like” Facebook page kilang berkenaan bagi mengikuti perkembangan bilakah masa jualan promosi murah dari kilang ini mereka lakukan pada masa akan datang. Kami hendak pergi lagi.
Kepada anda yang tinggal berdekatan seperti di Pulau Pinang dan juga Kedah, anda bolehlah singgah kilang Miyao-Toki di Kulim Kedah ini. Tetapi anda kena tahulah bila masanya mereka ada membuat jualan promosi pinggan mangkuk murah dari kilang ini. Dari pengalaman saya, paling kurang kena bawa RM50 – RM100. Kalau hendak beli banyak, kenalah bawa duit lebih. Bila saya sudah beli dan bawa balik ke rumah, rupanya brand yang saya beli di kilang tersebut adalah jenama yang sama yang saya ada pakai dan gunakan di rumah. Jadi kami percayalah dengan ketahanan brand berkenaan. Terbaik.