Di Pulau Pinang terdapat satu restoran kedai makan melayu yang menarik dan unik. Ianya adalah sebuah kawasan ladang ternakkan kambing dan dikawasan sekitarnya dibina restoran kedai makan yang unik dengan dibina banyak pondok pondok kecil yang dibuat dari kayu. Dan ianya terletak di Kampung Pelet Bukit Mertajam Pulau Pinang. Nama restoran tersebut adalah “Puncak Mutiara Cafe”. Kenapa puncak? Ianya memang terletak di kawasan yang sedikit berbukit dan kawasan pondok tempat makannya pun memang dalam keadaan sedikit membukit.
Saya setuju dengan kata kata seorang pengusaha gerai makan tentang kedai makan beliau. Kadang kadang orang datang bukan kerana sebab makanan tersebut sedap dan sebagainya. Boleh jadi faktor utama kenapa sesetengah kedai makan menjadi tumpuan adalah kerana lokasi keadaan restoran yang menarik. Kadang kala orang mahu makan di satu tempat yang menarik dan nampak unik. Jadi apa keunikkan restoran Puncak Mutiara Cafe ini? Uniknya kerana tempat makan yang disediakan. Ianya menggunakan konsep pondok kayu. Gaya macam makan di bawah pondok untuk berehat.

Gambaran pintu masuk ke Puncak Mutiara Cafe Kg Pelet
Pengalaman Makan Di Puncak Mutiara Cafe Kg Pelet
Saya tidak katakan yang makanan di Puncak Mutiara Cafe ini tidak sedap. Jangan salah faham. Saya cuma katakan antara sebab sebab kenapa orang ramai makan di kedai kedai restoran tertentu adalah kerana keunikkan yang terdapat pada kedai makan tersebut. Cumanya, kalau makanannya terbukti sedap, maka ianya sudah tentulah menjadi daya tarikkan nilai tambah yang paling wow sekali. Kalau memang tidak sedap langsung, barulah tiada siapa yang mahu datang makan di sana walaupun terdapat keunikkannya. Jelas?

Contoh pondok makan yang terdapat di Puncak Mutiara Cafe Kampung Pelet Pulau Pinang
Pondok pondok makan yang disediakan terdapat beberapa jenis khas untuk pelbagai jenis pelanggan yang makan di Puncak Mutiara Cafe ini. Yang pertama adalah jenis pondok kayu dengan kaedah makan bersila. Tiada kerusi disediakan. Hanya meja yang rendah. Jadi pelanggan boleh makan secara bersila. Sesuai kepada yang mahu makan beramai ramai dengan keluarga. Yang kedua jenis pondok yang mempunyai kerusi. Sesuai kepada anda yang mahu makan dengan duduk di atas kerusi kayu dan meja kayu. Jangan risau, dibumbung pondok terdapat kipas. Kalau panas boleh buka kipas.

Menikmati Nasi Beriani Gulai Ayam Kampung di Kampung Pelet Bukit Mertajam Penang
Disebabkan PuncakMutiaraCafe ini sebenarnya adalah kawasan ladang ternakan kambing dan lain lain. Jadi sudah tentulah antara menu hidangan yang menjadi simbol kepada restoran Puncak Mutiara Cafe ini adalah hidangan berasaskan kambing. Isteri saya memilih nasi beriani kambing. Saya pula memilih menu nasi beriani ayam kampung masak gulai dengan kuah asam. Apa yang saya rasa? Sangat sedap kalau ikut cita rasa saya. Memang saya suka. Sebenarnya ini adalah kali kedua saya memesan menu yang sama. Kali kedua pun sedap, maka saya akan terus pesan menu ini di lain masa.

Makan yee mee sizzling di Puncak Mutiara Cafe
Menu hidangan yang disediakan ada macam macam sebenarnya. Terpulang kepada selera dan juga bajet anda. Ada satay, tapai, aiskrim, western food, ikan bakar, gorengan, udang, sotong dan banyak lagi. Makanan unik macam rusa, burung unta, arnab pun ada.
Sudah lama sebenarnya saya tidak ke sini. Mungkin sudah setahun lamanya. Saya belum pernah berkesempatan ke Puncak Mutiara Cafe ini pada hari siang. Hanya pernah pergi malam sahaja. Tidak tahu apa rasanya suasana kalau pergi pada waktu siang. Berkenaan harga pula, bagi saya ianya masih dikira mampu. Tidaklah terlalu murah, tetapi bukanlah terlalu mahal. Sebagai contoh, Nasi Beriani Gulai Ayam Kampung yang saya ambil berharga RM16.80. Satay ayam secucuk berharga RM1. Yee Mee Sizling yang saya makan semalam berharga RM5.60 kalau tidak silap. Bagi saya harga yang dikenakan agak berpatutan untuk tempat kawasan makan yang unik ini. Cubalah.
Macam menarik ja..boleh pergi ni, dari Sg Petani tak jauh sangat..