Semalam adalah hari di mana kelas pembelajaran Al-Quran yang saya sertai di Sungai Ara Pulau Pinang telah selesai untuk tempoh selama 5 bulan. Namun kelas yang saya sertai bukanlah bermaksud saya telah lengkap mempelajari Al-Quran, akan tetapi telah tamat program pembelajaran Al-Quran untuk sesi yang pertama iaitu sesi “ASAS”. Dan selepas ini saya akan menyambung kembali sesi yang seterusnya iaitu sesi ke-2 pula. Oleh kerana rasa sangat seronok dan terasa yakin saya mampu untuk menguasai pembacaan Al-Quran melalui Pusat Pengajian Al-Baghdadi ini, maka saya tidak keberatan untuk meneruskan sesi kelas yang ke-2 pula selepas ini.
Untuk pengetahuan anda, di Pusat Pengajian Al-Quran Al-Baghdadi ini ada mengadakan kelas pembelajaran Al-Quran untuk sesi kanak kanak dan juga dewasa. Mereka menyediakan 4 modul utama. Yang pertama adalah kelas asas iaitu TAMHID. Kelas yang kedua pula adalah TAJWID. Kelas yang ketiga pula adalah BELAJAR MENGAJI dan kelas ke-empat iaitu yang terakhir pula adalah KELAS TALAQQI. Semalam, saya baru sahaja menamatkan sesi kelas TAMHID. Alhamdulillah.
Habis Kelas Pembelajaran Al-Quran Untuk Sesi Tamhid (Asas)
Tempoh pembelajaran paling cepat untuk satu satu sesi adalah 3 bulan. Namun biasanya ianya akan dijalankan dalam tempoh 4-6 bulan. Dan kelas kami berjaya dihabiskan dalam masa 5 bulan. Sekarang kami sudah tahu bagaimanakah untuk membunyikan huruf Al-Quran dari Aliff sampai ke Yaa. Kami isnyaallah boleh membunyikan bacaan ketika baris atas, bawah, hadapan dan juga tanwin. Kelas asas yang bernama “Tamhid” ini penting bagi mempersiapkan dan menyediakan diri dengan penguasaan sebutan huruf hijaiyah iaitu huruf Al-Quran.
Saya bukanlah seorang yang fasih dalam membaca Al-Quran. Itu saya tidak malu untuk memperkatakannya. Bagi saya, selagi saya ada niat untuk mempelajarinya, maka ianya bukanlah satu tindakkan yang sudah terlambat. Selepas berkahwin, ianya menjadi salah satu benda yang saya fikirkan. Saya sudah menjadi seorang suami. Insyaallah bakal menjadi ayah suatu hari nanti. Sebagai pemimpin dalam keluarga, sudah semestinya saya perlu tahu sedikit sebanyak ilmu agama dan salah satunya adalah penguasaan bacaan Al-Quran. Sebab itu saya mahu hadir ke kelas pembelajaran Al-Quran ini.
Setelah 5 bulan berlalu. Maka semalam adalah kelas Tamhid terakhir dan kami menamatkannya dengan sesi tangkap gambar, mengambil sijil dan juga sesi makan makan bersama. Saya sendiri tidak sangka saya berjaya menghabiskan sesi kelas pembelajaran Al-Quran ini. Malah saya berjaya untuk tidak ponteng walaupun sekali. Kedatangan saya penuh. Alhamdulillah.
Kelas Tamhid terakhir kami tamatkan dengan sesi makan makan secara “Potluck” iaitu setiap ahli perlu membawa bekalan makanan mereka sendiri dan kami akan makan beramai ramai secara berkongsi makanan. Ada yang bawa bihun, kuih muih, buah buahan, aiskrim, dadih, air minuman, roti jala, pulut kuning, kari ayam, rendang daging dan bermacam lagi. Memang kenyang perut di buatnya. Majlis makan makan ini dapat membuatkan ahli kelas mengaji semakin kenal antara satu sama lain dengan lebih erat.
Saya bukan hendak mempromosikan kelas pembelajaran Al-Quran Al-Baghdadi Pulau Pinang ini. Dari pengalaman sendiri dan pendapat peribadi saya. Saya mendapati yang program kelas mengaji dewasa ini sangat sesuai kepada orang awam di luar sana yang kurang fasih atau tidak pandai dalam membaca Al-Quran. Mereka mempunyai kelas asas untuk mula dari awal. Jangan risau kalau anda sudah tua. Ada ramai orang dewasa dalam kelas ini. Malah mereka tidak akan tanyakan anda soalan secara perseorangan untuk elak anda berasa malu. Ahli dalam kelas mengaji akan menjawab apa apa soalan secara beramai ramai. Menarik bukan? Kalau berminat masuk ke kelas belajar Al-Quran dewasa ini, contact saya melalui info di bawah ini ya. Assalamualaikum.
1 Comment
Alhamdulillah..
terbaik la bro..
semoga bro dan pelajar yang lain terus istiqamah mempelajari Al Quran ini