Semalam rakan sekerja saya baru mengangkat dan mengambil kereta baharu iaitu Proton Exora. Beliau dan isteri beliau teruja kerana mendapat kereta baru. Saya sebagai rakan pun tumpang gembira. Teringin juga hendak merasa dan menaiki Proton Exora tersebut. Selalunya hanya pernah tengok dan dengar cakap cakap orang sahaja. Apa yang membuatkan saya teringin hendak menaiki Proton Exora tersebut? Tiada sebab lain melainkan kerana faktor “senyap” dari bunyi engin. Apakah keluaran kereta Proton yang terbaru memang benar benar “refinement” dari sebelumnya. Saya sendiri sebagai pemilik kereta Proton Saga BLM memang benar benar ingin tahu.
Dan tadi saya telah diajak rakan untuk bersarapan dengan beliau dan menaiki kereta baru beliau iaitu Proton Exora. Saya tidak melepaskan peluang tersebut. Sebuah kereta yang cantik dan nampak besar dari luar. Apakah dalamannya benar benar besar dan luas seperti yang dikata. Masalah yang saya hadapi dengan Proton Saga BLM lama bukanlah masalah yang besar. Tetapi agak kerap jugalah orang bertanya pasal enginnya kenapa bunyi begitu dan begini. Jadi saya mahu tahu juga apakah kereta Proton Exora yang menggunakan engin yang sama tetapi berbungi lebih perlahan dan lebih senyap? Apakah ianya benar. Itu adalah salah satu alasan terbesar kenapa saya hendak mengikuti beliau bersarapan pagi pada pagi tadi.
Beli Proton Exora Untuk Keluarga Besar
Untuk pengetahuan anda, kereta Proton Exora adalah sebuah kereta dari jenis MPV yang mempunyai 3 baris tempat duduk. Ianya sangat sesuai untuk anda yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak yang sudah mulai ramai. Oleh kerana rakan saya sudah berkeluarga dan mempunyai 3 orang anak, maka memang sesuai sangat beliau menukar pakai atau menjual kereta lama beliau iaitu Proton Gen2 kepada Proton Exora Bold pula. Kalau sebelum ini pakai kereta sedan dan bertukar kepada kereta mpv, memang akan terasa teruja akan perubahan tersebut. Lebih tinggi, lebih teguh, lebih berat dan terasa lebih mantap. Kalau memandu jauh memang kurang penat. Boleh berhenti rehat dan tidur dengan selesa kerana ruangnya yang sememangnya luas.
Kereta Proton Exora yang saya naiki tadi adalah dari jenis “BOLD” iaitu enginnya adalah dari jenis “Turbo” dan kuasanya memang cukup untuk memandu dalam keadaan ramai penumpangnya. Samada ianya Premium atau Executive saya tidak pasti. Kerusi tempat duduk dari jenis leather seat iaitu kulit, mempunyai blower kipas angin aircond untuk penumpang tengah dan belakang supaya mudah dan cepat untuk merasa sejuk ketika dalaman kereta panas akibat letak dikawasan parking bawah cahaya matahari.
Cermin pandang hadapan mempunyai integrasi dengan kamera untuk reverse sensor. Kiranya kalau anda undur kereta, ada kamera yang terhidup untuk anda lihat dengan mudah ketika anda mahu parking kereta. Pada bahagian penumpang tengah, terdapat LCD skrin untuk orang lain atau kanak kanak menonton rancangan kegemaran mereka dengan mudah. Kalau anda bawa anak anda, tidaklah mereka berasa bosan ketika menaiki Proton Exora anda itu. Memang cukup untuk menghiburkan anak anda yang aktif atau mudah menangis.
Baiklah, ini adalah bahagian yang paling penting bagi saya. Iaitu berkenaan kesenyapan engin ketika beroperasi dan ketika kita berada di dalam kabin Proton Exora. Oleh kerana kereta Proton Exora versi terbaru ini dibina untuk “refinement”, maka sudah pasti kita hendak tahu samada ianya memang senyap atau lebih kurang sama sahaja dengan kereta lain diluar sana. Saya sebagai pemilik kereta Proton Saga BLM, saya boleh cakap yang ianya memang ada perubahan ketara. Bagi saya bunyi deruman engin memang sangat kurang. Tidak bising malah berkuasa. Terbaik. Soal engin samada ianya jimat minyak atau tidak saya tidak boleh komen kerana buat masa ini Proton Exora rakan saya ini belum dipandu jauh lagi. Apa apa pun Proton Exora ini memang terbaiki.