Walaupun saya bukanlah orang atau anak Pulau Pinang, tetapi saya bolehlah dikatakan berpengalaman didalam negeri ini kerana telah menetap hampir 10 tahun iaitu dari semasa zaman belajar di Universiti dan kini bekerja di Pulau Pinang. Oleh kerana saya bekerja di kawasan “Pulau”, maka saya telahpun melalui zaman zaman ketika Jambatan Pulau Pinang Pertama masih lagi mempunyai “dua lorong” sahaja. Peritnya ketika itu semasa hendak bekerja kerana anda terpaksa menghadapi keadaan trafik yang sangat perlahan lagi lagi jika semasa anda hendak pulang bekerja di waktu petang.
Pulau Pinang mempunyai dua laluan utama yang menghubungkan “Pulau” dan “Seberang” iaitu melalui laluan Jambatan Pulau Pinang dan juga laluan perkhidmatan Feri. Jambatan Pulau Pinang menjadi laluan utama yang menghubungkan Pulau dan Seberang. Anda pernah merasa bagaimana anda menghadapi laluan trafik yang perlahan yang menyebabkan anda berada di Jambatan Pulau Pinang selama 2 jam? Saya pernah merasakannya dan ini adalah suatu yang biasa waktu itu. Akibat dari kesesakkan melampau, cadangan untuk melebarkan Jambatan Pulau Pinang pertama dari dua lorong kepada 3 lorong dilakukan. Tetapi setelah siap kepada 3 lorong, ianya dilihat kurang menyelesaikan masalah utama iaitu kesesakkan.
Kesesakkan Trafik Berkurang Kerana Jambatan Pulau Pinang Kedua
Saya yang menggunakan kereta untuk berulang alik kerja merasakan Pulau Pinang perlu mencari cara dan alternatif lain untuk menyelesaikan masalah yang tidak selesai ini. Keadaan trafik yang sesak sebegini setiap hari dan setiap tahun mengundang “stress” dan “tekanan” kepada warga Pulau Pinang. Senang cerita anda tidak dapat mengelak dari berhadapan dan menghadapi trafik yang sesak setiap hari. Keadaan sebegini tidak sihat. Berita gembira muncul apabila cadangan untuk pembinaan kepada Jambatan Pulau Pinang Kedua dirancang untuk dilakukan.
Alhamdulillah, pada bulan lepas, Jambatan Pulau Pinang Kedua telah secara rasmi siap dan dibuka untuk kegunaan awam. Menurut sumber, Jambatan Pulau Pinang Kedua bakal menyelesaikan masalah kesesakkan pada Jambatan Pertama sebanyak 25-30%. Bagi saya nilai 25% tidak begitu besar tetapi ianya diharapkan dapat menyelesaikan sedikit masalah kesesakkan yang berlaku. Sejak Jambatan Pulau Pinang Kedua dibuka dan beroperasi, YA saya mengakui yang kesesakkan sudah berkurang dan kalau berlaku trafik perlahan sekalipun ianya tidak seteruk pada masa lalu yang mana anda balik kerja dari Pulau hendak ke seberang, minimum 2 jam anda menghadapi trafik sesak adalah perkara biasa yang mana pada waktu kini saya masih lagi tidak pernah menghadapinya lagi. Jadi tahniah kepada Jambatan Pulau Pinang Kedua.
4 Gambar Jambatan Pulau Pinang Kedua (Sila Klik Pada Gambar Untuk Besarkan Gambar)
Kadar Tol Jambatan Pulau Pinang Kedua
Jambatan Pulau Pinang Kedua dibina dengan dua lorong sahaja dan satu lorong lagi dikhaskan untuk laluan motosikal. Kadar tol yang dikenakan di Jambatan Pulau Pinang Kedua bagi motosikal adalah RM1.70 dan kereta sebanyak RM8.50. Nama jambatan kedua ini adalah Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Bagi saya kadar tol yang dikenakan tidak terlalu mahal kerana jika dibandingkan dengan jambatan pertama kereta dikenakan dengan kadar sebanyak RM7. Jadi kenaikkan sebanyak RM1.50 bagi jambatan yang panjang sebegini adalah wajar.
Mari lihat bagaimana keadaan Jambatan Pulau Pinang Kedua melalui rakaman video dibawah yang dibuat oleh individu yang rajin merakamkan perjalanan mereka di jambatan baru ini. Dari sini anda akan faham akan dua lorong untuk kereta dan satu lorong lagi untuk laluan motosikal.
Mengikut pengalaman saya, Pulau Pinang ditahun akan datang akan tetap menghadapi masalah trafik di Jambatan Pertama ini. Keadaan ini didorong dengan pertambahan penduduk, peningkatan yang bekerja di “Pulau” dan keadaan kebergantungan yang keterlaluan terhadap jambatan pertama untuk masuk dan keluar dari Pulau. Dengar cerita ada ura ura yang Pulau Pinang ingin membina terowong laluan bawah air. Saya tidak pasti samada cerita ini benar ataupun tidak. Ramai yang menentang kerana disifat membazir wang. Bagi saya pula selagi ianya bertujuan untuk mengurangkan kesesakkan yang terjadi apa salahnya. Kepada yang duduk di Pulau Pinang pasti tahu dan faham akan perlunya menyelesaikan masalah kesesakkan yang dihadapi oleh penduduk. Adakah anda telah menggunakan Jambatan Pulau Pinang Kedua? Apa pendapat anda dan adakah ianya berjaya mengurangkan kesesakkan lalu lintas jalan raya menurut anda?
2 Comments
tengok video best pula main pusing-pusing. haha, lama pula nak sampai lautnya.
hehehhee