Saya memang salah seorang peminat makanan yang berasaskan “bubur”. Boleh dikatakan ke semua jenis bubur saya suka. Seperti bubur lambur, bubur nasi, bubur kacang merah, bubur pulut hitam, bubur jagung, bubur pisang (pengat pisang), bubur cha cha dan juga bubur kacang hijau. Jujur cakap saya memang tidak pernah membuat sendiri bubur kacang hijau ini. Selalu hanya tolong emak masak dan makan sahaja. Dari pengalaman tolong emak, dapat lihat dan tahu jugalah bagaimana cara penyediaannya. Kalau hendak buat sendiri rasanya boleh. Cuma dari segi pengalaman memang tidak pernah membuatnya sendiri. Ini kali pertama.
Sebenarnya saya sudah beberapa kali terlihat gula merah di dalam peti ais di rumah. Dan kebetulan bulan ini saya memang ada membeli kacang hijau satu paket dengan niat hendak membuat bubur kacang hijau bila ada masa. Dan entah kenapa, ketika tengah hari saya ternampak pek kotak santan kelapa. Jadi saya terfikir, bukankah kalau hendak memasak bubur kacang hijau ini saya hanya perlukan 3 perkara asas sahaja iaitu biji kacang hijau, gula merah dan juga santan. Saya terus membuatnya ketika itu sahaja.
Cara Membuat Bubur Kacang Hijau Mudah Dan Cepat
Ya saya tahu, biji kacang hijau perlu direndam dahulu untuk melembutkannya. Dari bacaan saya di internet, biji kacang hijau perlu di rendam berjam jam lamanya. Ada yang kata kena rendam satu hari. Saya tidak pasti. Oleh kerana saya tidak sabar, saya hanya rendam biji kacang hijau selama 1 jam sahaja. Orang lelaki mana sabar, saya hendak buat dan masak bubur kacang hijau masa itu juga, jadi saya hanya rendam satu jam sahaja. Hanya main cuba cuba sahaja sebenarnya.
Selepas satu jam, saya terus memulakan proses memasak dan membuat bubur kacang hijau untuk pertama kali dalam seumur hidup saya ini. Orang kata, kita selalunya akan belajar dari pengalaman dan kesalahan kita betul? Saya setuju dengan pandangan tersebut. Baiklah. Apakah bahan bahan, resepi dan cara memasaknya. Jom baca.
Bahan Bahan
- Kacang hijau satu paket, 2 gula merah, satu kotak kecil santan kelapa, sedikit garam dan 2 sudu gula pasir
Cara Memasak
- Saya rendam biji kacang hijau selama 1 jam. Lebih lama adalah lebih baik
- Saya rebus biji kacang hijau sampai agak lembut. 35% keras & 65% lembut
- Saya buang air rebusan. Masukkan air baharu dengan banyak dan juga santan
- Saya masukkan terus 2 gula merah, setengah sudu garam dan 2 sudu gula pasir
- Saya terus masak dengan api yang sederhana
Bagaimana hendak tahu sudah masak atau belum? Mudah sahaja, ketika memasak bubur kacang hijau, sesekali itu anda ambil beberapa butir kacang hijau yang sedap dimasak itu untuk anda gigit makan. Kalau masih terasa keras, teruskan masak. Kalau sudah lembut anda boleh berhenti dan padamkan api. Oleh kerana bubur kacang ambil masa dari keras kepada lembut, jadi memang perlukan api yang perlahan. Kalau kuat takut nanti air bubur kacang hijau akan cepat menjadi kering dan kacang hijau tidak sempat menjadi lembut. Kalau hendak wangi, sila masukkan daun pandan. Apa hasilnya? Jujur cakap, pengalaman pertama membuat bubur kacang hijau ini menjadi dan sedap. Isteri pun kata sedap. Selamat mencuba.